Siti Hajar - contoh pengorbanan isteri solehah  

Posted by: Bekas Pelajar SMU(A) Al-Sabirin, Ayer Lanas

http://ibnurrahmat.blogspot.com/

Apabila disebut Makkah, seluruh umat Islam terasa teruja dengan kota suci. Sepanjang masa Makkah dirindui oleh seluruh umat Islam, terutama ketika musim haji. Setiap waktu menunaikan sembahyang pula kita terasa begitu hampir dengan kedudukan Makkah yang dijadikan arah kiblat.

Satu perkara lagi yang paling sinonim dengan kota Makkah ialah sejarah mula-mula ia dibuka oleh Nabi Ibrahim bersama isterinya Siti Hajar dan anak mereka Nabi Ismail. Di sebalik kisah pembukaan penempatan Makkah itu terselit pula kisah pengorbanan Siti Hajar. Pengorbanan Siti Hajar sebagai isteri yang solehah amat mengkagumkan dan harus dijadikan contoh kepada semua.

Siti Hajar adalah isteri kedua Nabi Ibrahim. Perkahwinan itu direstui isteri pertama, Siti Sarah, sebagai satu usaha untuk melahirkan zuriat Nabi Ibrahim yang bakal meneruskan tugas menyebarkan agama Allah. Siti Sarah tidak mampu melahirkan anak disebabkan usianya ketika itu telah mencecah 70 tahun.

Namun, perasaan Siti Sarah berubah menjadi cemburu setelah Siti Hajar mengandung dan mengambil keputusan tidak mahu hidup bersama lagi dengan madunya. Nabi Ibrahim terpaksa mengambil keputusan untuk memisahkan antara kedua isterinya itu untuk mengelak persengketaan. Peristiwa itu sebenarnya menyimpan banyak hikmah yang telah ditentukan oleh Allah. Nabi Ibrahim mendapat wahyu agar membawa Siti Hajar dan anak yang baru dilahirkan, Nabi Ismail, menuju ke satu tempat yang amat jauh dari kampung halaman mereka di Palestin.

Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar dan Nabi Ismail ke satu lembah yang kering kontang dan tiada penghuni yang kini dikenali Makkah. Kedua beranak itu ditinggalkan dengan hanya sedikit bekalan makanan dan air minuman. Mereka hanya berserah kepada Allah kerana mengetahui tindakan Nabi Ibrahim itu satu perintah daripada Allah.

Siti Hajar menyedari jika itulah perintah daripada Allah, sudah pasti Allah tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang taat. Namun hatinya masih tertanya-tanya hikmah di sebalik perintah Allah itu.

Bayangkan perasaan Siti Hajar ditinggalkan berdua dengan anak yang masih bayi di suatu tempat yang tidak berpenghuni dan kering kontang. Pada siapakah dia harus mendapatkan pertolongan jika berlaku sesuatu perkara yang buruk kepadanya?

Dia juga sering tertanya-tanya sama ada dirinya masih berpeluang menemui suaminya yang tercinta. Sedangkan, dia tahu jarak perjalanan antara Palestin dengan Makkah pada ketika itu mengambil masa kira-kira enam bulan untuk sampai dan terpaksa melalui perjalanan yang sukar.

Siti Hajar memang merupakan wanita terpilih. Zuriatnya melalui Nabi Ismail melahirkan nabi-nabi seterusnya hinggalah Nabi Muhammad. Kecekalan dan perasaan reda berdepan dengan cabaran hidup yang sedemikian tentunya tidak pernah dilalui wanita lain.

Tidak lama selepas tinggal di lembah kontang itu, bekalan makanan dan minuman yang dibawa telah kehabisan. Lebih merungsingkan lagi apabila susu badan Siti Hajar sendiri tidak lagi keluar disebabkan keadaan badannya yang tidak mendapat makanan yang cukup. Nabi Ismail tidak dapat menyusu susu badan ibunya.

Ketika itulah Siti Hajar mula resah. Tidak sanggup mendengar tangisan Nabi Ismail akibat kehausan, Siti Hajar meletakkan Nabi Ismail di satu tempat lalu bingkas bangun mencari ke segenap tempat untuk mendapatkan air.

Siti Hajar mendaki sebuah bukit untuk meninjau dari jauh agar dapat melihat kalau-kalau ada tempat menakungkan air. Dari puncak bukit itu dia melihat dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari sekuat hati ke tempat itu agar cepat dia mendapat air itu bagi diberi minum kepada puteranya.

Namun, setelah sampai di tempat itu, apa yang dilihatnya tadi hanyalah fatamorgana. Dari tempat itu pula dia melihat ada tempat lain seperti ada air bertakung. Lantas dia terus berlari ke tempat itu. Sekali lagi dia kecewa kerana apa yang dilihatnya itu juga fatamorgana.

Tetapi, dilihatnya sekali lagi ada tempat seperti air bertakung. Dia terus berlari tanpa mengenal penat bagi memastikan anaknya dapat minum. Begitu besar sekali pengorbanan seorang ibu. Dia tidak sedar dirinya sendiri semakin lama tidak berdaya lagi untuk bergerak.

Tanpa disedari, Siti Hajar sebenarnya telah berulang alik antara dua bukit iaitu Bukit Safa dan Bukit Marwah untuk mencari sumber air. Perlakuan Siti Hajar berlari antara Bukit Safa dan Bukit Marwah adalah tanda pengorbanan besar seorang ibu untuk anaknya.

Sebagai mengingati dan menjadikan kisah ini iktibar untuk seluruh umat Islam, perbuatan Siti Hajar berlari-lari berulang-alik dari Bukit Safar dan Bukit Marwah dizahirkan ketika melakukan ibadat haji.

Berlari atau berjalan bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah berulang alik sebanyak tujuh kali adalah antara Rukun Haji yang menentukan sah atau batal ibadat haji yang dilakukan. Rukun haji itu dipanggil saie yang dilakukan selepas melakukan tawaf.

Kembali kepada kisah Siti Hajar, selepas dirinya tidak lagi berdaya bergerak untuk mencari air, dengan rasa hampa dan memikirkan nasib anaknya yang ditinggalkan seketika itu, dia kembali ke tempat anaknya ditinggalkan.

Nabi Ismail yang kehausan ketika ditinggalkan telah menghentak-hentak kakinya ke bumi. Dengan rahmat Allah, tempat hentakan kaki Nabi Ismail itu terpancut mata air.
Melihatkan keadaan itu, Siti Hajar gembira bukan kepalang. Serta merta semangat Siti Hajar kembali pulih. Dia menerpa ke arah mata air yang terpancut itu lalu ditadah dengan tangan terus dititiskan air itu ke mulut Nabi Ismail.

Ketika menadah air itulah terpancul dari mulut Siti Hajar perkataan 'zami, zami, zami yang bermaksud 'berkumpullah, berkumpullah, berkumpullah'. Dari perkataan itulah lahir perkataan air zam-zam.

Tangisan Nabi Ismail reda setelah hilang hausnya. Dan dapatlah Siti Hajar pula menikmati air itu untuk mengembalikan kekuatan dirinya. Tempat air terpancut keluar itu dibuatkan takungan bagi mengumpul lebih banyak air.

Takungan air yang dibina itu bukan sahaja dijadikan sumber air minum Siti Hajar dan anaknya, tetapi dalam tempoh masa yang singkat dikesan oleh burung-burung yang berterbangan. Berkawan-kawan burung datang dan pergi silih berganti minum dan berehat di kawasan itu.
Pergerakan burung itu kemudian dikesan oleh satu kabilah yang melalui kawasan itu. Mereka dapat mengagak bahawa tempat itu ada sumber air. Lantas, mereka mencari-carinya dan terjumpalah sumber air yang tidak disangka-sangka itu.

Dengan itu Siti Hajar pertama kali dapat menemui orang sejak ditinggalkan suaminya di situ. Ada kabilah menawarkan untuk membawa Siti Hajar meninggalkan tempat itu. Namun, dia tetap setia berpegang kepada perintah suaminya agar tetap tinggal di tempat itu.

Selepas peritiwa itu, kabilah-kabilah telah menjadikan kawasan Makkah sebagai laluan perjalanan untuk mendapatkan bekalan air. Setiap kali air dicedok, air yang keluar semakin banyak. Lebih menakjubkan, rasa dan khasiat air zam-zam amat istimewa berbanding air biasa.

Memandangkan ada bekalan air yang terjamin di situ, ada kabilah yang terus menetap di situ. Mereka yakin tempat itu dipenuhi dengan barakah. Tidak hairanlah jika dalam tempoh masa yang singkat sahaja, bilangan penduduk Makkah bertambah dengan mendadak.

Pengorbanan Siti Hajar wajar dijadikan contoh kepada para wanita dalam menghadapi cabaran hidup. Yang penting jangan mudah merasa kecewa dan hilang keyakinan diri apabila berdepan dengan sesuatu masalah.

Jawatan Kosong (Guru GSTT SABK 2010)  

Posted by: Bekas Pelajar SMU(A) Al-Sabirin, Ayer Lanas

Sila Forward JAWATAN KOSONG INI......

Kepada sesiapa yang berminat untuk mengajar dan mendidik golongan murid muslim... Moga mereka menjadi mata rantai perjuangan islam akan datang. Betapa besarnya tanggungjawab yang anda bakal pikul. Tidak ternilai pahala yang bakal anda perolehi selagi ilmu yang ada ajari dipraktikkan...
  • Permohonan Guru Sandaran SABK (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan) seluruh Malaysia.
  • Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah
  • Tarikh Akhir : 11 september 2009
  • P1T3 : RM1720.90 bagi Ijazah SArjana Muda Am
  • P1T5 : RM1901.80 bagi Ijazah SArjana Muda Kepujian
  • Elaun Khidmat Awam - RM300.00
  • Bantuan Sara Hidup (COLA) - Mengikut Kelayakan@Tempat
  • ITP (Imbuhan Tetap Perumahan) - Hanya akan di bayar setelah selesai Induksi & BTN@dapat surat lanitkan
  • Salinan fotokopi yang asal dan perlu (stamp pad dakwat biru)


Program selama 2 tahun. Setiap cuti bulan Mei/Jun dan November/disember akan masuk maktab. Gaji macam orang kerja biasa (tak macam KPLI, DPLI dan JQAF - mereka hanya dapat elaun RM1200++), gaji full. Cuma tak dapat Imbuhan Tetap Perumahan (ITP).

Mengajar dan praktikal di sekolah yang di tawarkan. Selepas selesai maktab (2 tahun) + 1-3 tahun untuk pengesahan jawatan baru boleh mohon tukar sekolah.

Malah jika kerajaan isytihar bonus kakitangan kerajaan, pun layak untuk dapat gak...

p/s: isteri saya sedang ikut program GSTT - SABK ni. Dah 2 kali masuk maktab - nov/dis 2008 dan Mei/jun 2009. Akan datang masuk nov/dis 2009 dan mei/jun 2010. Jun terus Induksi dan BTN. Dengar2 citer akan terus di interview. Lagi cepat nak dapat surat lantikan dan pengesahan. InsyaAllah.

Sila download borang. Klik Sini

Wanita Penyeri Dunia  

Posted by: Bekas Pelajar SMU(A) Al-Sabirin, Ayer Lanas

1. Kecantikan seorang wanita ialah terletak sejauh mana ia dapat menahan(menjaga) malunya, sementara kegagahan seorang lelaki ialah terletak sejauh mana ia dapat menahan (menjaga) marahnya.

  1. Orang yang membujang adalah orang yang belum menemukan penghibur duka dan dia baru memperolehinya dengan berkahwin.
  2. Suami adalah orang yang mencari kebahagiaan hidup dengan menghilangkan sebahagian kemerdekaannya.
  3. Wanita menghadapi banyak permasalahan; sebahagian diatasi dengan berkahwin dan sebahagian yang lain diatasi setelah dia masuk ke liang kubur.
  4. Mata yang paling indah tetapi juga harus diwaspadai adalah mata kaum wanita.
  5. Jangan menyalahkan perasaan isteri anda kerana perasaannya yang terbaik ialah ketika ia menerima anda sebagai suami.
  6. Perawan tua ialah wanita yang kehilangan kesempatan menyusahkan seorang lelaki.
  7. Yang diinginkan seorang gadis dari dunia ini hanyalah seorang suami,dan apabila ia sudah memperolehinya, ia menginginkan segala-galanya.
  8. Wanita bisa memaafkan suatu pengkhianatan suaminya, tetapi dia tidak bisa melupakannya.
  9. Kecantikan wanita tidak bererti apa-apa dibandingkan dengan kemuliaan akhlak dan perilakunya.
  10. Sebelum kahwin, wanita hafal seluruh jawaban dan sesudah kahwin, ia hafal seluruh pertanyaan.
  11. Barangsiapa mengahwini wanita kerana hartanya, maka dia telah menjual kemerdekaannya.
  12. Wanita adalah bintang dan pelita bagi lelaki. Tanpa pelita, lelaki bermalam dalam kegelapan.
  13. Wanita lebih cepat daripada lelaki dalam menangis dan dalam mengingatkan peristiwa yang menyebabkan dia menangis.
  14. Wanita tertawa bila ia mampu dan menangis apabila ia menginginkan sesuatu..
  15. Pudarlah kebahagiaan seorang wanita jika ia tidak mampu menjadikan suaminya teman yang termulia.
  16. Wanita sangat berlebihan dalam mencintai dan membenci, dan tidak mengenal pertengahannya.
  17. Wanita selalu tergolong manusia halus dan lembut sampai saat dia berkahwin.
  18. Tidak mungkin seorang lelaki hidup bahagia tanpa didampingi oleh isteri yang mulia.
  19. Wanita hidup untuk berbahagia dengan cinta, sementara lelaki mencintai untuk hidup berbahagia.
  20. Kebijaksanaan wanita terletak di dalam hatinya.
  21. Seorang wanita yang bijaksana menambahkan gula pada kalimatnya setiap kali berbicara dengan suaminya, dan mengurangi garam pada ucapan suaminya.
  22. Cincin perkahwinan adalah cincin termahal di dunia, sebab mengharuskan pemberinya mengingatkan harganya setiap bulan tanpa henti.
  23. Sesungguhnya tidak ada wanita yang sangat cantik, yang ada ialah kaum lelaki yang sangat lemah bila berhadapan dengan kecantikan.
  24. Bagi lelaki, yang terakhir kali mati ialah jantungnya dan bagi wanita adalah lidahnya.
  25. Wanita tidak diciptakan untuk dikagumi semua lelaki tetapi sebagai sumber kebahagiaan seorang suami.
  26. Pada waktu bertunang, lelaki banyak berbicara dan perempuan mendengarkan. Pada saat perkahwinan, perempuan berbicara dan pengantin lelaki mendengarkan. Sesudah perkahwinan, suami dan isteri banyak berbicara dan para jiran tetangga mendengarkan.
  27. Setiap wanita mempunyai dua mata. Adapun wanita yang cemburu berlebihan mempunyai tiga mata. Satu di sebelah kanan, satu di sebelah kiri dan yang ketiga diarahkan kepada suami.
  28. Wanita pada umumnya takut akan tiga hal : tikus, munculnya uban dan wanita-wanita cantik yang menjadi saingannya.
  29. Isteri yang bersikap jujur dan setia kepada suami meringankan setengah beban kehidupan suaminya.
  30. Seorang wanita menghadapi kesulitan apabila ia berada di antara lelaki yang dicintainya dan yang mencintainya.

Rahsia Tapak Tangan Lelaki  

Posted by: Bekas Pelajar SMU(A) Al-Sabirin, Ayer Lanas

Gusar dengan sikap mahupun identiti diri si dia yang diketemu beberapa hari lalu? Atau masih mencari kebenaran dalam perhubungan yang baru terjalin? Itu antara masalah yang melanda segelintir kaum wanita hari ini.


Tidak perlu bersusah payah untuk mengorek rahsia dirinya dengan memaksa si dia berterus-terang dengan setiap tindakannya. Cuba amati rahsia telapak tangannya secara diam-diam.

Menurut pakar palmistry (membaca garis tangan) dan penulis buku Read His Hands, Know His Heart, Marion Gale, dengan hanya melihat telapak tangan lelaki, seseorang boleh mengetahui rahsia hati seorang lelaki.

"Jika ingin mengetahui karakter lelaki sebelum kamu menjalinkan hubungan serius, terokalah telapak tangan kanannya," ujar Gale.

Earth hand
Sekiranya si dia mempunyai telapak tangan dengan bahagian tengahnya berbentuk bujur dengan ukuran jari-jemari yang pendek, ini membawa erti si dia tergolong dalam kumpulan earth hand.

Lelaki ini kebiasaannya bersifat konservatif. Ia juga mempunyai pemikiran yang tinggi dan kestabilan dalam hidup.Jika kamu berjaya menemui lelaki earth hand di tengah-tengah kota metropolitan, kemungkinan besar mereka memiliki rumah yang besar dengan halaman yang cukup luas untuk menyalurkan hobinya dalam aktiviti berkebun. Dia juga seorang lelaki yang gemar memasak dan bijak menyediakan sesuatu hidangan.

Water hand
Telapak tangan berbentuk segi panjang, dengan saiz jarinya berukuran panjang. Lelaki ini tergolong sebagai lelaki yang baik hati, sabar dan gemar menelaah bahan-bahan bacaan.
Bahkan, dia amat cenderung dengan panggilan ulat buku. Lelaki water hand juga mempunyai keperibadian yang tenang.

Kamu lebih banyak menemui mereka di acara-acara kebudayaan daripada bersosial di kelab-kelab malam atau bar.

Air hand
Lelaki air hand memiliki telapak tangan berbentuk bujur tetapi dengan jari-jari tangan yang panjang. Lelaki jenis ini mudah mempelajari hal-hal yang baru dan berwawasan dengan melakukan aktiviti mengembara ke kota atau negara lain.

Disebabkan dia mempunyai hobi yang ekstrem, lelaki ini sangat teratur dalam setiap perjalanan hidupnya.Dia juga senang mendalami hobi baru. Hanya dengan sebuah perbualan yang bijak, lelaki ini mudah tertarik kepada kamu.

Fire hand
Lelaki dengan telapak tangan berbentuk segi panjang dengan jari-jari tangan pendek, kebiasaannya cepat berasa gelisah apabila duduk dalam suatu jangka masa yang lama.
Dia sangat menyukai perkara-perkara berbaur tentangan, sehingga tenaga lelakinya akan disalurkan.

Meskipun begitu, si fire hand ini sebenarnya berkeperibadian tingi dan seorang yang mudah bergaul. Tidak hairanlah, kerana dia mempunyai ramai teman yang begitu mengambil berat terhadapnya.Sekiranya kamu tidak bersikap bossy terhadapnya, dia pasti akan 'menenggelamkan' dirinya dalam hubungan yang penuh keterujaan bersama kamu.

DUHAI WANITA..!!!  

Posted by: Bekas Pelajar SMU(A) Al-Sabirin, Ayer Lanas

1) HUBUNGAN HARMONI DENGAN WANITA

- Tanggungjawab yang perlu ditunaikan untuk mereka adalah setimpal dengan tanggungjawab yang wajib mereka tunaikan; firman Allah SWT:
“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)”
(al-Baqarah, 2: 228).

- Wanita sebagai pendamping yang memberikan ketenteraman dan kasih-mesra; firman Allah SWT:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (al-Rum, 30: 21)

- Interaksi yang baik dengan dorongan keyakinan kepada Allah SWT; firman Allah SWT:
“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka, boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (al-Nisa’, 4: 19)

- Wanita dan lelaki adalah sebagai pakaian untuk sesama mereka; firman Allah SWT:
“Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka..” (al-Baqarah, 2: 187)

- Kelazatan dunia yang terbaik adalah wanita yang baik; sabda Rasulullah s.‘a.w:
“Dunia adalah suatu kenikmatan, sebaik-baik kenikmatan dunia ialah wanita yang solehah..” (Riwayat Abdullah bin ‘Amr. Sahih Muslim)

2) BERLAPANG DADA TERHADAP WANITA

- Menerima jantina sebagai anugerah Allah SWT, firman Allah SWT:
“Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.” (al-Syura, 42: 49)

- Tidak perlu bermasam muka untuk menunjukkan rasa tidak puas hati. Allah SWT berfirman:
“Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.” (al-Nahl, 16: 58)


- Tidak semestinya boleh mendapat kepuasaan sepenuhnya daripada seseorang. Sabda Rasulullah s.‘a.w:

“Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah, jika ia tidak menyukai sebahagian perangainya, terdapat orang lain yang menyenanginya.” (Diriwayatkan daripada Abu Hurairah. Sahih Muslim, Musnad Imam Ahmad)

3) GODAAN WANITA!!!

- Keinginan dan kecenderungan terhadap wanita adalah suatu perhiasan. Firman Allah SWT:
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan…” (Ali Imran, 3: 14)

- Godaan wanita amat dahsyat. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.” (Yusuf, 12: 28)

- Godaan wanita boleh mengundang padah. Sabda Rasulullah s.‘a.w:

“Tidak aku tinggalkan selepasku suatu fitnah yang lebih membahayakan lelaki daripada wanita.” (Diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid r.‘a. Sahih al-Bukhari)

- Godaan wanita amat membahayakan sabda Rasulullah s.‘a.w:

“Dunia adalah manis dan menghijau. Sesungguhnya Allah memberikan tugas kepada kamu di sana kemudian Dia melihat bagaimna kamu beramal. Takutilah dunia dan takutilah wanita. Sesungguhnya fitnah yang pertama berlaku pada Israil adalah pada wanita.” (Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri. Sahih Muslim, Musnad Imam Ahmad)

- Doa menghadapi godaan wanita:

“Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.” (Yusuf, 12: 28)


Muslimah Teladan - 1
Nusaibah menyaksikan hari peperangan Yamamah iaitu serangan ke atas golongan murtad yang merupakan detik yang sangat getir yang pernah ditempuhinya. Dia juga telah melibatkan diri secara langsung di dalam peperangan tersebut. Dia juga telah bersama dengan anaknya ‘Abdullah untuk membunuh Musailamah yang akhirnya menyebabkan tangannya terpotong di samping terdapatnya dua belas kesan luka.

Muslimah Teladan - 2
Di bawah bahang panas terik matahari mereka telah diseksa di Makkah. Apabila Rasulullah s.a.w. terlihat kejadian itu Baginda bersabda: “Bersabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya tempat yang dijanjikan untuk kamu adalah di syurga.” Akhirnya Sumayyah dibunuh dan tiada apa yang ia inginkan melainkan Islam manakala pembunuhnya ialah Abu Jahal yang telah menikam kemaluannya. Sumayyah antara tujuh orang pertama yang mengisytiharkan Islam di Makkah. Sumayyah ketika itu seorang tua yang tidak memiliki sebarang kekuatan. Abu Jahal yang langsung tiada perasaan kasihan belas sanggup membunuhnya meskipun dia seorang tua.

Muslimah Teladan - 3
Di dalam sirah Al-Halabiyyah 149/2: Sesungguhnya Ummu Kalsum binti ‘Uqbah bin Abi Mu’idh telah memeluk Islam di Makkah. Dia telah berbaiah sebelum Rasulullah s.a.w. berhijrah. Dialah antara wanita pertama berhijrah selepas hijrah dan beliau meninggalkan Makkah seorang diri, ditemani oleh seorang lelaki dari Bani Khuza’ah sehinggalah sampai ke Madinah.

SELAMAT HARI GURU: DEDIKASI UNTUK GURU-GURUKU  

Posted by: Bekas Pelajar SMU(A) Al-Sabirin, Ayer Lanas

Biarpun Hari Guru telah berlalu

Lewat mengucap “ Selamat Hari Guru”

Bukan bererti aku alpa terhadap jasamu sifu

Melonjak merubah membina arah tuju

Anak didik pejuang acuan restumu……..guru

Mudah-mudahan mengalir kebajikan yang kau curah lalu



Guruku…..

Berdiri aku bertongkat ilmumu

Menyambung titihan keringkat syahdu

Sulaman gaya, pendekatan aksimu ku tiru

Semoga muridku menjadi seperti aku

Kerana aku sepertimu… guru

Kalian dan aku bagaikan Satu

Aura ilmu dan kasih sayang itu jitu

Amanah agama dan Negara yang kita pacu


Guruku……

Maafku minta restu kupohon

Aku hargai belaian ilmu bertahun

Buat niat untuk segelintir sahaja disanjung

Guru lain hanya dipinggiran

Kau guru….tetap dalam ingatan

Sekadar mencoret kisah silam

Semuanya nostalgia untuk diambil pengajaran


Ustaz Syamsuddin Yunus,

Sudah lama pencen bekas penolong kanan

SMU(A) Al-Sabirin Ayer Lanas

Menjadi murabbi pengasas pusat pendidikan

Sudah menegur aku jadikan rujukan

Pelajar bermasalah tidak sekali dibuang

Amanah guru memberi didikan

Bukan hakim yang menjatuhkan hukuman

Itulah prinsip murabbi yang jadi sanjungan

Hasilnya,lahir ramai cendikiawan

Walhal Masa sekolah perangai macam setan

SELAMAT HARI GURU : iNGATAN tulus Ikhlas daripada warga pendidik

SMK Bukit GaramTahun 2009


Cikgu Wan Ramli Wan Jusoh

Puluhan tahun berkhidmat, semangatnya tidak lusoh

Guru yang menukar watak aku yang kecoh

Tidur di kelas mengantuk lengguh

Arahan Cikgu Wan aku patuh

Pikul peta meleleh peluh

Malu dan bangga sering bergaduh

A1 geografi bukti singkat yang kuraih


Ustazah Rahmah

Guru aku ditingkatan Satu 1987

Soalan pertama adakah aku sudah sembahyang suboh

Ringkas mengajar mudah boleh

Lepas belajar hafalan dipilih

Mudah melekat diamal terus


Guru-guruku..

Masih banyak yang mahu kucoretkan disini

Namun masa,ruang seperti disakiti

Siang malam dicerita belum pasti boleh berhenti

Jasa masa pengorbanan usah dihisabi

Hanya mampu disemat dipasak jiwa


Selamat Hari Guru…..

Semoga guru terus senyum

Puas dalam mendidik kami

Salah silap kami mohon guru-guru abaikan

Kalian guru tetap bersemi kukuh dijiwa nurani

Doakan kami Berjaya pendidik juga murabbi

Syukran ustaz,syukran ustazah

Terima kasih cikgu, terima kasih permata pertiwi

Thank You teacher, I love you sir

Demokrasi Ala-Malaysia  

Posted by: Bekas Pelajar SMU(A) Al-Sabirin, Ayer Lanas

Speaker Sivakumar diangkut polis 'bebas' selepas sejam

DIPAKSA BANGUN...Bekas Speaker DUN Perak, V. Sivakumar dipaksa bangun dari kerusinya oleh polis dan Bentara. -- fotoTHE STAR oleh SAIFUL BAHRI
SPEAKER V Sivakumar terjatuh ketika dibawa keluar oleh polis dari sidang DUN Perak di Ipoh --fotoSINAR HARIAN

IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar dari Pakatan Rakyat, yang tidak berganjak dari tempat duduknya lebih lima jam sejak pukul 10 pagi tadi dan diangkut keluar oleh polis, kembali muncul sebaik sahaja sesi perasmian Dewan berakhir.

Beliau kelihatan tenang dan senyum ketika memasuki DUN kira-kira pukul 4.20 petang tadi.

Kemunculan Sivakumar selepas ditahan di sebuah bilik dalam DUN disambut oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan ADUN Pakatan Rakyat yang lain.

Ketika ditemui pada sidang media bersama Nizar, Sivakumar berkata, beliau telah dilepaskan selepas ditahan kira-kira sejam oleh polis.

"Saya ditahan polis di sebuah bilik dekat sini hampir sejam. Saya cuma ditahan," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau turut disoal siasat oleh polis, Sivakumar berkata, "tidak."

Pada sidang media itu, Nizar berkata, Pakatan Rakyat masih menganggap Sivakumar sebagai Speaker yang sah.

Terdahulu, suasana DUN kecoh apabila Sivakumar diangkut keluar oleh beberapa anggota polis.

Kekecohan tercetus selepas sidang DUN 'disambung' oleh Speaker 'baru' lantikan BN.

Kira-kira 50 anggota polis memasuki Dewan dan mengelilingi tempat duduk sambil dengan bantuan bentara menarik keluar Sivakumar dan diangkat ke sebuah bilik berhampiran.

Walaupun tindakan membawa beliau keluar telah dihalang oleh anggota DUN Pakatan yang membuat kepungan selama kira-kira 30 minit tetapi Sivakumar telah diangkut keluar dari tempat duduknya kira-kira pukul 2.40 petang oleh tiga anggota polis.

Beliau kelihatan terjatuh semasa diangkut keluar di luar Dewan.

Kerusi yang didudukinya juga dibawa keluar dengan ada yang mengatakan kerana telah mengalami kerosakan.

Kira-kira 50 anggota polis dilihat memasuki DUN sebaik sahaja berlaku pergelutan antara anggota Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

Pergelutan dan pertikaman lidah tercetus apabila Speaker baru 'dilantik' BN, Datuk R. Ganesan mengambil tempatnya di barisan kedudukan BN, sebelah kiri tempat duduk Speaker untuk mempengerusikan 'sidang DUN'.

Pertikaman lidah itu yang antara lain mendesak Ganesan keluar Dewan atas alasan tindakannya memasuki DUN tidak sah, berubah dengan pergelutan sekali gus membawa kepada kemasukan anggota polis ke dalam Dewan.

Insiden tolak-menolak antara ADUN Pakatan dan polis juga berlaku.

Suasana ini berakhir dengan usaha memaksa membawa keluar Sivakumar yang bertegas tidak akan memulakan sidang DUN selagi 10 ADUN termasuk Menteri Besar dan tiga wakil rakyat Bebas keluar dari Dewan.

Sidang disambung kira-kira pukul 3.17 petang dengan titah diraja perasmian yang disampaikan oleh Raja Muda Raja Nazrin Sultan Azlan Shah.

Baginda sepatutnya menyampaikan titah diraja perasmian pukul 10 pagi tadi.

BERITA TERDAHULU

Speaker Sivakumar diangkut keluar, Raja Nazrin rasmi lepas 5 jam

IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar dari Pakatan Rakyat yang tidak berganjak dari tempat duduknya lebih lima jam sejak pukul 10 pagi tadi diangkut keluar dari Dewan oleh polis.

Walaupun tindakan membawa beliau keluar telah dihalang oleh anggota DUN Pakatan kira-kira 30 minit tetapi Sivakumar telah diangkut keluar dari tempat duduknya kira-kira pukul 2.40 petang oleh tiga anggota polis.

Beliau kelihatan terjatuh semasa diangkut keluar di luar Dewan.

Kerusi yang didudukinya juga dibawa keluar.

Kira-kira 30 anggota memasuki DUN sebaik sahaja berlaku pergelutan antara anggota Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

Pergelutan dan pertikaman lidah tercetus apabila Speaker baru 'dilantik' BN, Datuk R. Ganesan mengambil tempatnya di barisan kedudukan BN, sebelah kiri tempat duduk Speaker untuk mempengerusikan 'sidang DUN'.

Pertikaman lidah itu yang antara lain mendesak Ganesan keluar Dewan atas alasan tidak sah, berubah dengan pergelutan sekali gus membawa kepada kemasukan anggota polis ke dalam Dewan.

Insiden tolak-menolak antara ADUN Pakatan dan polis juga berlaku.

Suasana ini berakhir dengan usaha memaksa membawa keluar Sivakumar yang bertegas tidak akan memulakan sidang DUN selagi 10 ADUN termasuk Menteri Besar dan tiga wakil rakyat Bebas keluar dari Dewan.

Sehingga berita ini ditulis keadaan Sivakumar masih tidak diketahui.

Beliau tidak kelihatan dalam Dewan apabila ia mula bersidang.

Sidang disambung kira-kira pukul 3.17 petang dengan titah diraja perasmian yang disampaikan oleh Raja Muda Raja Nazrin Sultan Azlan Shah.

Baginda sepatutnya menyampaikan titah diraja perasmian pukul 10 pagi tadi