DUHAI WANITA..!!!  

Posted by: Bekas Pelajar SMU(A) Al-Sabirin, Ayer Lanas

1) HUBUNGAN HARMONI DENGAN WANITA

- Tanggungjawab yang perlu ditunaikan untuk mereka adalah setimpal dengan tanggungjawab yang wajib mereka tunaikan; firman Allah SWT:
“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)”
(al-Baqarah, 2: 228).

- Wanita sebagai pendamping yang memberikan ketenteraman dan kasih-mesra; firman Allah SWT:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (al-Rum, 30: 21)

- Interaksi yang baik dengan dorongan keyakinan kepada Allah SWT; firman Allah SWT:
“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka, boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (al-Nisa’, 4: 19)

- Wanita dan lelaki adalah sebagai pakaian untuk sesama mereka; firman Allah SWT:
“Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka..” (al-Baqarah, 2: 187)

- Kelazatan dunia yang terbaik adalah wanita yang baik; sabda Rasulullah s.‘a.w:
“Dunia adalah suatu kenikmatan, sebaik-baik kenikmatan dunia ialah wanita yang solehah..” (Riwayat Abdullah bin ‘Amr. Sahih Muslim)

2) BERLAPANG DADA TERHADAP WANITA

- Menerima jantina sebagai anugerah Allah SWT, firman Allah SWT:
“Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.” (al-Syura, 42: 49)

- Tidak perlu bermasam muka untuk menunjukkan rasa tidak puas hati. Allah SWT berfirman:
“Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.” (al-Nahl, 16: 58)


- Tidak semestinya boleh mendapat kepuasaan sepenuhnya daripada seseorang. Sabda Rasulullah s.‘a.w:

“Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah, jika ia tidak menyukai sebahagian perangainya, terdapat orang lain yang menyenanginya.” (Diriwayatkan daripada Abu Hurairah. Sahih Muslim, Musnad Imam Ahmad)

3) GODAAN WANITA!!!

- Keinginan dan kecenderungan terhadap wanita adalah suatu perhiasan. Firman Allah SWT:
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan…” (Ali Imran, 3: 14)

- Godaan wanita amat dahsyat. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.” (Yusuf, 12: 28)

- Godaan wanita boleh mengundang padah. Sabda Rasulullah s.‘a.w:

“Tidak aku tinggalkan selepasku suatu fitnah yang lebih membahayakan lelaki daripada wanita.” (Diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid r.‘a. Sahih al-Bukhari)

- Godaan wanita amat membahayakan sabda Rasulullah s.‘a.w:

“Dunia adalah manis dan menghijau. Sesungguhnya Allah memberikan tugas kepada kamu di sana kemudian Dia melihat bagaimna kamu beramal. Takutilah dunia dan takutilah wanita. Sesungguhnya fitnah yang pertama berlaku pada Israil adalah pada wanita.” (Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri. Sahih Muslim, Musnad Imam Ahmad)

- Doa menghadapi godaan wanita:

“Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.” (Yusuf, 12: 28)


Muslimah Teladan - 1
Nusaibah menyaksikan hari peperangan Yamamah iaitu serangan ke atas golongan murtad yang merupakan detik yang sangat getir yang pernah ditempuhinya. Dia juga telah melibatkan diri secara langsung di dalam peperangan tersebut. Dia juga telah bersama dengan anaknya ‘Abdullah untuk membunuh Musailamah yang akhirnya menyebabkan tangannya terpotong di samping terdapatnya dua belas kesan luka.

Muslimah Teladan - 2
Di bawah bahang panas terik matahari mereka telah diseksa di Makkah. Apabila Rasulullah s.a.w. terlihat kejadian itu Baginda bersabda: “Bersabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya tempat yang dijanjikan untuk kamu adalah di syurga.” Akhirnya Sumayyah dibunuh dan tiada apa yang ia inginkan melainkan Islam manakala pembunuhnya ialah Abu Jahal yang telah menikam kemaluannya. Sumayyah antara tujuh orang pertama yang mengisytiharkan Islam di Makkah. Sumayyah ketika itu seorang tua yang tidak memiliki sebarang kekuatan. Abu Jahal yang langsung tiada perasaan kasihan belas sanggup membunuhnya meskipun dia seorang tua.

Muslimah Teladan - 3
Di dalam sirah Al-Halabiyyah 149/2: Sesungguhnya Ummu Kalsum binti ‘Uqbah bin Abi Mu’idh telah memeluk Islam di Makkah. Dia telah berbaiah sebelum Rasulullah s.a.w. berhijrah. Dialah antara wanita pertama berhijrah selepas hijrah dan beliau meninggalkan Makkah seorang diri, ditemani oleh seorang lelaki dari Bani Khuza’ah sehinggalah sampai ke Madinah.

SELAMAT HARI GURU: DEDIKASI UNTUK GURU-GURUKU  

Posted by: Bekas Pelajar SMU(A) Al-Sabirin, Ayer Lanas

Biarpun Hari Guru telah berlalu

Lewat mengucap “ Selamat Hari Guru”

Bukan bererti aku alpa terhadap jasamu sifu

Melonjak merubah membina arah tuju

Anak didik pejuang acuan restumu……..guru

Mudah-mudahan mengalir kebajikan yang kau curah lalu



Guruku…..

Berdiri aku bertongkat ilmumu

Menyambung titihan keringkat syahdu

Sulaman gaya, pendekatan aksimu ku tiru

Semoga muridku menjadi seperti aku

Kerana aku sepertimu… guru

Kalian dan aku bagaikan Satu

Aura ilmu dan kasih sayang itu jitu

Amanah agama dan Negara yang kita pacu


Guruku……

Maafku minta restu kupohon

Aku hargai belaian ilmu bertahun

Buat niat untuk segelintir sahaja disanjung

Guru lain hanya dipinggiran

Kau guru….tetap dalam ingatan

Sekadar mencoret kisah silam

Semuanya nostalgia untuk diambil pengajaran


Ustaz Syamsuddin Yunus,

Sudah lama pencen bekas penolong kanan

SMU(A) Al-Sabirin Ayer Lanas

Menjadi murabbi pengasas pusat pendidikan

Sudah menegur aku jadikan rujukan

Pelajar bermasalah tidak sekali dibuang

Amanah guru memberi didikan

Bukan hakim yang menjatuhkan hukuman

Itulah prinsip murabbi yang jadi sanjungan

Hasilnya,lahir ramai cendikiawan

Walhal Masa sekolah perangai macam setan

SELAMAT HARI GURU : iNGATAN tulus Ikhlas daripada warga pendidik

SMK Bukit GaramTahun 2009


Cikgu Wan Ramli Wan Jusoh

Puluhan tahun berkhidmat, semangatnya tidak lusoh

Guru yang menukar watak aku yang kecoh

Tidur di kelas mengantuk lengguh

Arahan Cikgu Wan aku patuh

Pikul peta meleleh peluh

Malu dan bangga sering bergaduh

A1 geografi bukti singkat yang kuraih


Ustazah Rahmah

Guru aku ditingkatan Satu 1987

Soalan pertama adakah aku sudah sembahyang suboh

Ringkas mengajar mudah boleh

Lepas belajar hafalan dipilih

Mudah melekat diamal terus


Guru-guruku..

Masih banyak yang mahu kucoretkan disini

Namun masa,ruang seperti disakiti

Siang malam dicerita belum pasti boleh berhenti

Jasa masa pengorbanan usah dihisabi

Hanya mampu disemat dipasak jiwa


Selamat Hari Guru…..

Semoga guru terus senyum

Puas dalam mendidik kami

Salah silap kami mohon guru-guru abaikan

Kalian guru tetap bersemi kukuh dijiwa nurani

Doakan kami Berjaya pendidik juga murabbi

Syukran ustaz,syukran ustazah

Terima kasih cikgu, terima kasih permata pertiwi

Thank You teacher, I love you sir

Demokrasi Ala-Malaysia  

Posted by: Bekas Pelajar SMU(A) Al-Sabirin, Ayer Lanas

Speaker Sivakumar diangkut polis 'bebas' selepas sejam

DIPAKSA BANGUN...Bekas Speaker DUN Perak, V. Sivakumar dipaksa bangun dari kerusinya oleh polis dan Bentara. -- fotoTHE STAR oleh SAIFUL BAHRI
SPEAKER V Sivakumar terjatuh ketika dibawa keluar oleh polis dari sidang DUN Perak di Ipoh --fotoSINAR HARIAN

IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar dari Pakatan Rakyat, yang tidak berganjak dari tempat duduknya lebih lima jam sejak pukul 10 pagi tadi dan diangkut keluar oleh polis, kembali muncul sebaik sahaja sesi perasmian Dewan berakhir.

Beliau kelihatan tenang dan senyum ketika memasuki DUN kira-kira pukul 4.20 petang tadi.

Kemunculan Sivakumar selepas ditahan di sebuah bilik dalam DUN disambut oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan ADUN Pakatan Rakyat yang lain.

Ketika ditemui pada sidang media bersama Nizar, Sivakumar berkata, beliau telah dilepaskan selepas ditahan kira-kira sejam oleh polis.

"Saya ditahan polis di sebuah bilik dekat sini hampir sejam. Saya cuma ditahan," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau turut disoal siasat oleh polis, Sivakumar berkata, "tidak."

Pada sidang media itu, Nizar berkata, Pakatan Rakyat masih menganggap Sivakumar sebagai Speaker yang sah.

Terdahulu, suasana DUN kecoh apabila Sivakumar diangkut keluar oleh beberapa anggota polis.

Kekecohan tercetus selepas sidang DUN 'disambung' oleh Speaker 'baru' lantikan BN.

Kira-kira 50 anggota polis memasuki Dewan dan mengelilingi tempat duduk sambil dengan bantuan bentara menarik keluar Sivakumar dan diangkat ke sebuah bilik berhampiran.

Walaupun tindakan membawa beliau keluar telah dihalang oleh anggota DUN Pakatan yang membuat kepungan selama kira-kira 30 minit tetapi Sivakumar telah diangkut keluar dari tempat duduknya kira-kira pukul 2.40 petang oleh tiga anggota polis.

Beliau kelihatan terjatuh semasa diangkut keluar di luar Dewan.

Kerusi yang didudukinya juga dibawa keluar dengan ada yang mengatakan kerana telah mengalami kerosakan.

Kira-kira 50 anggota polis dilihat memasuki DUN sebaik sahaja berlaku pergelutan antara anggota Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

Pergelutan dan pertikaman lidah tercetus apabila Speaker baru 'dilantik' BN, Datuk R. Ganesan mengambil tempatnya di barisan kedudukan BN, sebelah kiri tempat duduk Speaker untuk mempengerusikan 'sidang DUN'.

Pertikaman lidah itu yang antara lain mendesak Ganesan keluar Dewan atas alasan tindakannya memasuki DUN tidak sah, berubah dengan pergelutan sekali gus membawa kepada kemasukan anggota polis ke dalam Dewan.

Insiden tolak-menolak antara ADUN Pakatan dan polis juga berlaku.

Suasana ini berakhir dengan usaha memaksa membawa keluar Sivakumar yang bertegas tidak akan memulakan sidang DUN selagi 10 ADUN termasuk Menteri Besar dan tiga wakil rakyat Bebas keluar dari Dewan.

Sidang disambung kira-kira pukul 3.17 petang dengan titah diraja perasmian yang disampaikan oleh Raja Muda Raja Nazrin Sultan Azlan Shah.

Baginda sepatutnya menyampaikan titah diraja perasmian pukul 10 pagi tadi.

BERITA TERDAHULU

Speaker Sivakumar diangkut keluar, Raja Nazrin rasmi lepas 5 jam

IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar dari Pakatan Rakyat yang tidak berganjak dari tempat duduknya lebih lima jam sejak pukul 10 pagi tadi diangkut keluar dari Dewan oleh polis.

Walaupun tindakan membawa beliau keluar telah dihalang oleh anggota DUN Pakatan kira-kira 30 minit tetapi Sivakumar telah diangkut keluar dari tempat duduknya kira-kira pukul 2.40 petang oleh tiga anggota polis.

Beliau kelihatan terjatuh semasa diangkut keluar di luar Dewan.

Kerusi yang didudukinya juga dibawa keluar.

Kira-kira 30 anggota memasuki DUN sebaik sahaja berlaku pergelutan antara anggota Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

Pergelutan dan pertikaman lidah tercetus apabila Speaker baru 'dilantik' BN, Datuk R. Ganesan mengambil tempatnya di barisan kedudukan BN, sebelah kiri tempat duduk Speaker untuk mempengerusikan 'sidang DUN'.

Pertikaman lidah itu yang antara lain mendesak Ganesan keluar Dewan atas alasan tidak sah, berubah dengan pergelutan sekali gus membawa kepada kemasukan anggota polis ke dalam Dewan.

Insiden tolak-menolak antara ADUN Pakatan dan polis juga berlaku.

Suasana ini berakhir dengan usaha memaksa membawa keluar Sivakumar yang bertegas tidak akan memulakan sidang DUN selagi 10 ADUN termasuk Menteri Besar dan tiga wakil rakyat Bebas keluar dari Dewan.

Sehingga berita ini ditulis keadaan Sivakumar masih tidak diketahui.

Beliau tidak kelihatan dalam Dewan apabila ia mula bersidang.

Sidang disambung kira-kira pukul 3.17 petang dengan titah diraja perasmian yang disampaikan oleh Raja Muda Raja Nazrin Sultan Azlan Shah.

Baginda sepatutnya menyampaikan titah diraja perasmian pukul 10 pagi tadi